Rabu, Mac 04, 2015

Muhasabah Diri Tiket Capai Redha Allah

Korang mesti selalu dengar perkataan muhasabah kan? Hari-hari kita dengar orang bercakap tentang muhasabah diri. Ustaz, pakar motivasi sentiasa menyarankan agar kita memuhasabahkan diri kita. Biasa dengar, tak semestinya kita faham. Menurut Ustazah Sharifah Hayaati Syed Ismail di dalam Berita Harian 11 Januari 2014, muhasabah adalah kata kunci kepada salah satu metod penting pengukuhan pencapaian yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan. Rasullullah SAW mendidik umat Islam menilai dirinya sendiri dan beramal sesuai dengan penilaian itu untuk kesenangan dunia akhirat.

Kerap bermuhasabah bersihkan kolam jiwa


Bermuhasabah adalah kita menilai diri kita sendiri, sejauh mana pencapaian kita pada hari ini dan setakat mana pula usaha kita. Pencapaian yang dimaksudkan itu tidak semata-mata kepada pencapaian material, sebaliknya ia merangkumi pencapaian kita dalam usaha mencapai redha Allah. Dengan sentiasa bermuhasabah, kita akan menjadi lebih peka serta menyedari kelemahan diri kita seterusnya bersedia melakukan pembaharuan serta penambahbaikan untuk  memperbaiki diri. Kita juga akan berhenti menuding jari kepada orang lain kerana menyedari kekurangan dan kesilapan diri kita sendiri.

Namun, tidaklah bermakna apabila kita bermuhasabah kita perlu menyalahkan diri sendiri di atas masalah atau apa perkara yang melanda diri kita. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku saya ingin berkongsi cara yang betul untuk menilai atau muhasabah diri agar proses muhasabah yang kita lakukan memberi kesan positif kepada kita dan bukannya merendahkan keyakinan diri kita. Mari kita saksikan perkongsian ringkas ini.



Cara Muhasabah Diri Agar Kekal Positif 

BINA KAREKTOR MUSLIM TERBAIK


Muhasabah setiap hari akan menjadikan kita kenal dengan kekuatan serta potensi diri kita sendiri. Kesedaran ini amat berguna dalam usaha kita untuk membina karektor sebagai muslim terbaik dan mencapai kejayaan dalam semua bidang yang diceburi. Apabila kita sering bermuhasabah dalam apa sahaja yang dilakukan, maka percayalah kejayaan bakal menanti kita. Muhasabahlah daripada semua aspek, tidak kira daripada sudut ibadah kita, kerjaya kita, akhlak kita, kesihatan kita, tanggungjawab kita mahupun sumbangan kita di dalam masyarakat dan agama yang kita sayangi ini.
Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa sebaik-baik umat adalah yang member manfaat kepada orang lain? Dengan bermuhasabah, sudah tentulah kita dapat meningkatkan kualiti serta produktiviti kita hari demi hari, ini sedikit sebanyak sudah tentu memberi sesuatu yang positif kepada ahli keluarga dan komuniti di sekeliling kita.

MUHASABAH UNTUK CAPAI REDHA ALLAH


Permata Syurga - Adakah kita bersyukur dengan apa yang kita miliki sekarang atau kita masih mengeluh menyalahkan takdir?

Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud : “ Orang yang bijak itu adalah yang menghisab (menilai) dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT.” (Riwayat Imam Al Tirmizi)

Saidina Umar bin Al-Khattab berkata : “Hisablah (nilailah) diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan hitunglah (amal kebaikan) kamu sebelum kamu dihitungkan (di hari akhirat kelak).
Selain untuk mendapatkan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat, muhasabah diri ini amat penting dalam usaha kita untuk mencapai redha Ilahi. Bermuhasabah setiap hari dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Minta lah padanya sekiranya diri sedang dilanda musibah. Minta padanya untuk mencapai segala cita. Bersangka baik pada Allah kerana sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud “Aku (Allah) adalah mengikut sangkaan hambaKu”, jadi jangan sesekali bersangka buruk pada Allah, naudzubillahiminzalik.


Apapun, terlalu besar hikmah bermuhasabah ini, semoga kita terus dapat memperbaiki diri kita hari demi hari dan menjadi contoh yang terbaik kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling kita. Sentiasalah melakukan muhasabah diri atau check and balance mengikut cara yang saya kongsikan di dalam video di atas. Semoga kita semua mendapat manfaat di dunia dan di akhirat dan sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT.

Syireen Amerlim


0 comments:

Catat Ulasan