Isnin, Februari 01, 2016

Virus Zika Punca Kepala Bayi Kecil. Ancaman Baru Buat Ibu Hamil.

Berita tentang penularan Virus Zika yang dikatakan menular dengan cepat di Benua Amerika merupakan mimpi ngeri buat para ibu yang hamil. Ini adalah kerana virus yang dibawa oleh nyamuk Aedes ini amat senang merebak. Apa yang lebih menakutkan pembawa virus ini tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan secara ketara walaupun dijangkiti sehingga pihak berwajib sukar untuk mengenali pesakit ini. Penyakit ini hanya menyebabkan demam yang ringan serta bintik-bintik (rashes) di badan, sakit sendi dan tidak menyebabkan kematian.


Bahaya Virus Zika Pada Ibu Mengandung

Walaupun penyakit ini tidak membawa kematian kepada pengidapnya, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius perkara ini kerana ia telah dikaitkan dengan kejadian kelahiran bayi dengan kepala/otak mengecil atau "microcephaly". Microcephaly adalah penyakit kecacatan otak/kepala yang kekal dan boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehinggalah mereka dewasa kelak. Selain itu, virus ini juga dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom "Guillain-Barre". 


Risiko Virus Zika Menular Di Malaysia

KKM tidak menolak rrisiko bagi penularan jangkitan ini ke Malaysia adalah tinggi di atas faktor-faktor berikut:-

  1. Malaysia mempunyai nyamuk pembawa jangkitan ini iaitu nyamuk Aedes.
  2. Densiti nyamuk Aedes di negara ini adalah sangat tinggi. Ini berdasarkan kepada hasil pemeriksaan premis-premis di seluruh negara serta hakikat bahawa kita juga dibebani dengan masalah denggi yang disebarkan oleh nyamuk yang sama.
  3. Penyakit ini belum terdapat di Malaysia dan oleh itu rakyat Malaysia amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit ini. Oleh itu, jika virus ini dibawa masuk oleh rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong luar ke Malaysia, ia boleh merebak dengan pantas.
  4. Seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus untuk membunuh virus ini. Oleh itu, orang yang dijangkiti akan menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit oleh nyamuk Aedes.
  5. Terdapat laporan menyatakan sebahagian besar (terdapat anggaran mengatakan 80%) tidak menunjukkan gejala dijangkiti, yakni mereka boleh menjadi “pembawa yang sihat” dan menyebarkan virus ini tanpa disedari.

Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia

Walaupun begitu, menerusi website nya, kementerian memaklumkan akan mengambil dan mencadangkan langkah-langkah berikut :


  1. Semua pelawat dari benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan yang mempunyai gejala demam dan bintik-bintik hendaklah melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran semasa tiba di Malaysia. Buat masa ini terdapat 22 buah negara melaporkan kes Zika virus dari rantau Amerika Latin iaitu Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Dominican Republic, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S. Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.
  2. Mengedarkan Nasihat Kesihatan (Health Advisory) kepada pelancong dan rakyat Malaysia berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil jika gejala sedemikian berlaku. Seterusnya, mereka hendaklah segera ke Klinik Kesihatan berhampiran.
  3. Menasihatkan rakyat Malaysia yang mengandung untuk tidak melakukan lawatan ke negara-negara terlibat.
  4. Rakyat Malaysia lain yang melakukan perjalanan ke negara terlibat hendaklah mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit oleh nyamuk Aedes seperti tidak berada di luar semasa waktu puncak gigitan Aedes di awal pagi dan lewat petang, memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repelen) secara tetap.
  5. Mengeluarkan “Health Alert” kepada semua fasiliti Kesihatan kerajaan dan swasta.
  6. Meningkatkan pemantauan di klinik dan hospital bagi kes yang mempunyai tanda-tanda Zika dan mempunyai sejarah perjalanan ke 22 buah negara yang melaporkan jangkitan Zika virus. Di samping itu, pemantauan bagi kes “microcephaly” juga ditingkatkan di hospital-hospital.

Saranan Buat Ibu Hamil

  • Bagi ibu hamil, disarankan agar tidak keluar rumah pada waktu-waktu puncak kewujudan nyamuk Aedes iaitu pada waktu subuh dan senja.
  • Ibu mengandung juga disarankan tidak melakukan lawatan ke negara-negara terlibat dalam jangkamasa virus ini masih aktif.
  • Elakkan diri daripada digigit Nyamuk Aedes
  • Sentiasalah berdoa agar kandungan sentiasa diselamatkan dan dilindungi.
  • Dapatkan supplemen yang sesuai untuk ibu hamil bagi menguatkan antibodi ibu dan anak. (Boleh dapatkan maklumat tentang supplemen untuk kehamilan di sini)

Peranan Semua Pihak

Setakat ini, pemantau berterusan telah dilaksanakan oleh KKM. Sebanyak 288 sampel dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan telah diuji  dan keputusannya adalah negatif untuk Virus Zika.
Walaupun KKM akan terus berusaha memastikan Virus ini dapat dikawal, namun kita sebagai rakyat Malaysia harus sama-sama berganding bahu memastikan pembiakan Aedes dihapuskan terus daripada kawasan kita. Ini dengan memastikan tempat pembiakan nyamuk Aedes, iaitu air bersih dan bertakung dimusnahkan secara tetap dan berkala. Segala usaha mencegah denggi harus dipertingkatkan kerana Virus Zika juga berasal daripada sumber yang sama iaitu Nyamuk Aedes.
0127247497

4 ulasan:

  1. Nau'zubillah min zalik, moga Allah lindungi keluarga kita daripada kerosakan yg menghancurkan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. amin....sama-samalah kita berdoa dan berjaga2...

      Padam