Rabu, Ogos 31, 2016

Hari Kemerdekaan 2016 : Antara Sambutan dan Penghayatan

Malam semalam kali pertama saya menyambut ambang 12 malam sempena Hari Kemerdekaan tahun 2016 ini. Temanya masih sehati sejiwa. Sebelum ni selalu sambut kat rumah je, lebih selesa dan santai.

Bersama Anak Kemerdekaan ~ lahir pada 31 Ogos

Tapi malam tadi berbeza la sedikit sambutan saya dapat tengok bunga api secara berdepan. Namun itu secara fizikalnya sahaja. Penting juga kita meraikan Hari Ulangtahun Kemerdekaan kita atau Hari Kebangsaan ini sebagai salah satu wadah untuk menyampaikan rasa bersyukur dan gembira kita.

Hadiah Cabutan Bertuah Grand Prize di Sambutan Kemerdekaan

Penghayatan Kemerdekaan

Namun terlebih penting adalah terjemahan penghayatan kita. Saya tidak mahu sentuh tentang kibaran jalur gemilang yang saya kira agak minima tahun ini (pada  pandangan saya sahaja). Apa yang saya cuba untuk bawa adalah terjemahan daripada sudut berfikir dan bertindak kita sebagai bangsa yang sudah bertahun merdeka.

Kesedaran Sivik Rakyat Malaysia Masih Minima?

Sebagai rakyat yang berada di dalam negara yang telah lama Merdeka kesedaran sivik kita seharusnya lebih tinggi. Sebagai contoh, di dalam lrt kita masih lagi duduk di tempat yang dikhususkan untuk wanita mengandung, kita juga masih merokok di kawasan larangan merokok, kita masih parking di tempat oku, malah kita masih lagi membuang sampah sesuka hati.

Perkara-perkara ini menunjukkan tahap kesedaran sivik kita yang masih sederhana atau rendah mungkin? Saya rasa dalam usia negara kita mencapai ke arah wawasan 2020 ini dan sudah mencapai kemerdekaan bertahun elok kiranya kita sama-sama mematangkan diri kita juga.

Belum cerita lagi tentang sikap kita di media sosial. Sebagai pengguna media sosial, kita perlu menjaga adab dan susila sama seperti kita berhubung di alam nyata. Elakkan maki hamun dan tohmah di dalam post dan komen. Ini kerana yang membaca itu manusia juga, bisa sakit dan terkesan dengan makian dan kejian. Berhati-hati mengeluarkan pendapat dalam sesuatu isu - be rational, not emotional.

Selain tindak tanduk dan susila kita, minda juga harus dilatih menjadi minda merdeka. Fikirlah secara positif dan matang dalam setiap isu yang melanda. Jangan cepat melatah dan sentap dan mudah berburuk sangka kepada orang lain. Jauhkan daripada sifat dengki mendengki sesama kita. Energi negatif itu kita divert atau tukar menjadi tenaga positif yang mampu memberi impak kepada diri dan masyarakat.

Nilai Kesukarelawanan dan Keusahawanan

Namun apa yang perlu dipuji ialah sikap suka membantu kita. Aktiviti kesukarelawanan sudah menjadi seperti cendawan tumbuh. Malahan telah diasah di peringkat sekolah dan pengajian tinggi lagi. Nilai sebegini yang diperlukan oleh anak muda kita dalam melahirkan modal insan.

Aktiviti keusahawanan juga saya kira sudah mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia terutamanya anak muda. Saya kita sudah sampai masanya anak muda kita bergiat aktif dalam keusahawanan. Bukan sahaja pendapatannya, malah lebih penting daripada itu, salah satu sunnah nabi ini mampu membentuk jiwa yang kental, berdikari dan bersemangat waja. Ini yang perlu dipupuk kepada anak-anak kita sedari kanak-kanak dan remaja.

Tema Kemerdekaan Mesej Perpaduan

Tema Hari Kemerdekaan tahun 2016 ini iaitu sehati sejiwa membawa mesej perpaduan kepada seluruh rakyat Malaysia. Peri pentingnya perpaduan ini pada kita kerana ia tunjang kepada keamanan dan kemakmuran negara. Perpaduan bukan sahaja antara kaum, tapi juga di dalam kaum yang sama juga perlu bersatu. Malahan di dalam sebuah institusi kekeluargaan juga perlu dipupuk semangat perpaduan itu. Jika semua orang mengambil tanggungjawab untuk bersatu dan berpadu, mesej sebegini tidaklah begitu signifikan lagi.

Sama-sama kita jadikan ulangtahun kemerdekaan kita pada kali ini sebagai sesuatu wadah untuk kita koreksi diri kita dan menjadi manusia yang lebih baik lagi.

Salam Kemerdekaan Dari Saya
#HariKebangsaan2016


0 comments:

Catat Ulasan